Rabu, 14 Juli 2010

khutbah sebelum wafatnya rasulullah SAW

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Janganlah kita hanya tahu mendengar sahaja perkataan taqwa serta menyebutnya sedangkan ia tidak menyerap ke dalam sanubari kita . Hitunglah diri kita setiap masa samada semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya. Adakah amalan soleh kita semakin meningkat atau pun menurun….

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 128 dan 129 surah at-Taubah

لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف الرحيم . فإن تولوا فقل حسبي الله لاإله إلا هو عليه توكلت وهو رب الغرش العظيم .

Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah : “Cukuplah Allah bagiku, tiada tuhan selain Dia, hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung”.

Kini hampir seminggu kita meninggalkan bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan yang telah mencatat sejarahnya yang agung dengan kelahiran bayi bertuah yang diberi nama Muhammad di mana baginda telah diangkat oleh Allah menjadi nabi lagi Rasul kepada umat akhir zaman. Pada hari ini marilah kita sama-sama menghitung diri kita samada sambutan maulidur rasul yang kita adakan pada bulan yang lalu hanya akan berlalu begitu sahaja atau pun sudah nampak disana perubahan pada diri kita dan masyarakat dalam sama-sama menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w dan melaksanakan setiap apa yang dibawanya. Jangan kita jadikan perayaan lalu hanya untuk menyambut dan memuja tubuh Rasulullah s.a.w sahaja sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab yang menyembelih 100 ekor unta kerana kegembiraan di atas kelahiran nabi Muhammad s.a.w. Tetapi akhirnya dialah yang menjadi penghalang dan penentang yang utama terhadap dakwah Rasulullah s.a.w sehingga adanya surah al-Lahab dalam al-Quran yang memberitahu kita semua bagaimana kecelakaan yang besar menimpa Abu Lahab dan isterinya kerana menolak dan mencerca dakwah suci Rasulullah s.a.w. Kita juga tidak mahu segala sifat mulia Rasulullah s.a.w diketahui dan disebut oleh kita saban hari samada melalui pembacaan buku, pendengaran melalui kuliah atau pun sebutan dalam berzanji dan juga selawat tetapi sekadar menjadi pengetahuan sahaja tanpa ada di sana usaha ke arah mencontohi dan melaksanakan kewajipan yang disuruh. Kita tidak mahu menjadi seperti ahli kitab dari golongan Yahudi dan Krisitian yang mengenali keperibadian Rasulullah s.a.w sebagaimana mereka mengenali anak mereka sendiri tetapi setelah kelahiran nabi Muhammad s.a.w, merekalah yang menjadi musuh utama kepada dakwahnya. Oleh itu marilah kita hendaklah menjadikan sambutan maulidur rasul ialah untuk memuji kemulian tubuh dan sifat Rasulullah s.a.w dan juga untuk melaksanakan segala syariat yang dibawanya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam kita bergembira dengan mengingati kelahiran Rasulullah s.a.w pada bulan Rabiul Awwal janganlah kita terlupa bahawa dalam bulan yang sama turut merakamkan peristiwa yang sedih dan memilukan seluruh umat Islam. Sebagaimana maklum bahawa selepas mengerjakan haji wida’ di Mekah pada tahun ke-10 hijrah lalu baginda s.a.w pulang ke Madinah. Setelah tiba di Madinah, Rasulullah s.a.w telah memerintah tentera Islam untuk menyerang Rom yang berkubu di Balqa’, Jordan dan Palestin di mana baginda memilih Usamah bin Zaid sebagai panglima perang.

Setelah persiapan perang telah siap dan hanya menunggu arahan seterusnya daripada Rasulullah s.a.w maka bermula dari sinilah baginda s.a.w mulai sakit tenat. Pada suatu larut malam, Rasulullah s.a.w telah pergi bersama dengan Muwaihibah ke kawasan perkuburan Baqi’ berhampiran Masjid Nabawi kerana diperintah supaya beristighfar di sana.Sekembalinya dari kawasan perkuburan Baqi’ , Rasulullah s.a.w telah mengadu bahawa kepalanya begitu sakit dan pening kepada ummul mukminin Sayyidatina ‘Aisyah. Peristiwa ini berlaku pada akhir bulan Sofar tahun 11 hijrah. Rasulullah s.a.w pada mulanya terlantar sakit di rumah ummul mukminin Sayyidatina Maimunah di mana selepas mendapat persetujuan daripada isteri-isterinya lalu baginda dipindahkan ke rumah Sayyidatina ‘Aisyah dengan dipapah oleh al-Fadhil bin Abbas dan Ali bin Abu Talib. Rasulullah s.a.w setelah bersiap lalu memberitahu bahawa baginda ingin keluar ke masjid bagi memberi ucapan kepada para muslimin. Selepas selesai sembahyang lalu baginda s.a.w sebelum menaiki minbar bersabda agar para muslimin berdoa ke atas para syuhada’ yang mati dalam peperangan Uhud dan.setelah berdiri di atas mimbar lalu Rasulullah bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya Allah memberi pilihan kepada hamba antara dunia dengan apa yang ada disisiNya (Allah) maka memilih hamba itu apa yang ada disisi Allah. Mendengar ucapan itu lalu bercucuran air mata Sayyidina Abu Bakar kerana beliau faham bahawa apa yang dimaksudkan dengan hamba itu ialah diri Rasulullah s.a.w di mana baginda merasai telah hampir saat kewafatannya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda : Wahai Abu Bakar! Jangan engkau menangis, sesungguhnya daripada mereka yang beriman kepadaku pada menemaninya, hartanya ialah Abu Bakar. Jika aku mengambil seorang teman rapat nescaya aku akan menjadikan Abu Bakar tetapi persaudaraan Islam dan kemanisannya. Tidak akan kekal dalam masjid satu pintu melainkan ada penghadang melainkan pintu Abu Bakar. Hadis ini menunjukkan kelebihan Sayyidina Abu Bakar.

Sabdanya lagi bermaksud: Sesungguhnya aku mempunyai tanggungan yang berat antara kamu, aku merupakan saksi kepadamu, sesungguhnya janji kepadamu ialah telaga kauthar, Sesungguhnya aku melihatnya sedangkan aku berada ditempatku ini. Sesungguhnya aku tidak bimbang kamu akan syirik tetapi yang paling aku bimbang ialah kamu akan berebut-rebut kemewahan dunia ketika dibentangkan kepadamu.

Pada suatu malam ketika para muslimin menunggu-nunggu ketibaan Rasulullah s.a.w bagi menunaikan solat Isya’, baginda tidak dapat berbuat demikian kerana terlalu sakit sehingga baginda memerintah Sayyidina Abu Bakar menjadi imam menggantikan baginda. Setelah diberitahu tentang perintah nabi lalu Sayyidina Abu Bakar meminta Sayidina Umar untuk menjadi imam tetapi Sayyidina Umar menggesa agar Sayyidina Abu Bakar melaksanakan perintah nabi untuk menjadi imam kerana beliau merupakan orang yang paling layak. Pada hari seterusnya setelah Rasulullah s.a.w merasai lega sedikit daripada kesakitan yang ditanggung lalu baginda keluar ke masjid dengan dipimpin oleh dua orang sahabat bagi menunaikan solat Zohor. Melihat kedatangan Rasulullah s.a.w maka Sayyidina Abu Bakar ingin berundur dari tempat imam tetapi Rasulullah s.a.w meminta agar beliau terus berada ditempat itu dan baginda sendiri meminta agar dua orang sahabat yang memimpinnya supaya mendudukkannya ditepi Sayyidina Abu Bakar. Sayyidina Abu Bakar bersembahyang mengikut solat nabi yang mengerjakannya sambil duduk manakala muslimin yang lain mengikut solat Sayyidina Abu Bakar.Ini merupakan solat terakhir Rasulullah s.a.w bersama para muslimin di mana para sahabat begitu gembira melihat nabi mampu bersembahyang bersama-sama mereka menandakan baginda akan sembuh dari sakit. Tetapi kegembiraan itu hanya sementara di mana kesakitan baginda semakin parah dan apabila ditanya kepadanya lalu baginda menyatakan : Tiada daripada orang islam yang ditimpa kesakitan maka tidak selainnya melainkan Allah akan menggugurkan kejahatannya sebagaimana daun yang gugur dari pokok.

Sidang Jumaat yang berbahagia

Pada suatu hari ketika para isteri nabi berada disampingnya lalu anaknya Siti Fatimah datang menghampirinya. Para isteri nabi yang lain melihat bagaimana Rasulullah s.a.w menceritakan sesuatu kepada Siti fatimah di mana buat kali pertama dia menangis kesedihan dan buat kali kedua dia tersenyum gembira. Apabila ditanya maka Siti fatimah mengatakan bahawa dia sedih pada cerita pertama kerana Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa setiap tahun malaikat Jibril akan menyampaikan wahyu al-Quran sekali manakala pada tahun ini dia datang sebanyak dua kali.Dia tidak melihatku melainkan kedatangannya kerana telah tiba ajalku. Sesungguhnya engkau wahai fatimah merupakan ahli keluarga pertama yang akan mengiringiku dan sebaik-baik salaf ialah aku bagi engkau maka aku menangis mendengar kata-kata itu. Manakala cerita yang menyebabkan aku gembira ialah apabila Rasulullah s.a.w bertanya : Adakah engkau tidak redha menjadi Penghulu bagi seluruh umat wanita yang beriman atau ketua bagi wanita umat ini maka aku merasa gembira dengan perkara ini.

Dalam keheningan Fajar Subuh hari Isnin 12 Rabiul Awwal tahun 11 hijrah ketika mana Sayyidina Abu Bakar dan para muslimin bersiap untuk solat Subuh, mereka telah terpandang wajah Rasulullah s.a.w yang berseri-seri sedang tersenyum apabila tabir dari bilik Sayyidatina ‘Aisyah terbuka lalu Abu Bakar memberi ruang kepada baginda kerana pada sangkaannya baginda ingin solat bersama-sama mereka. Para muslimin yang berada dibelakang turut bergembira apabila melihat keadaan nabi ketika itu tetapi akhirnya nabi mengisyaratkan dengan tangan agar mereka menyempurnakan solat mereka. Selepas itu para muslimin terus berasa senang hati melihat keadaan nabi yang mana pada sangkaan mereka telah hampir pulih. Namun sangkaan mereka meleset sama sekali kerana selepas menutup kembali tabir bilik Sayyidatina ‘Aisyah dan Rasulullah s.a.w kembali berbaring ditempatnya maka kesakitannya bertambah tenat. Itulah senyuman yang terakhir daripada seorang rasul dan pemimpin yang agung buat muslimin dan itulah juga senyuman perpisahan daripada nabi dan ketua yang penyayang buat muslimin sebelum Rasulullah s.a.w menemui Allah.

Pada saat-saat akhir, Usamah bin Zaid telah masuk menemui Rasulullah s.a. Ketika berada disampingnya dia diam lalu melihat bagaimana nabi telah meletakkan tangan baginda ke atasnya dan kemudiaannya mengangkat kedua tangannya di mana dia tahu bahawa nabi telah berdoa untuknya.

Antara ucapan atau wasiat yang terakhir sebelum baginda menghembuskan nafas yang terakhir ialah : Wahai manusia! Sesungguhnya tidak akan kekal berita atau wahyu kenabian melainkan rukya solehah yang akan diperlihatkan kepada orang islam atau pun dia melihatnya. Ada pun sesungguhnya aku telah mengakhiri pembacaan al-Quran ketika rukuk dan sujud. Ketika rukuk maka besarkanlah Allah manakala ketika sujud maka bersungguhlah meminta doa Maka lakukanlah nescaya akan dimaqbulkan. Selepas itu baginda menghembuskan nafas yang terakhir untuk pergi menemui kekasih sejati Allah Rabbul Izzati meninggalkan syariat yang akan terus dilaksana dan disampaikan oleh umatnya sehingga hari qiamat.

Kewafatan Rasulullah s.a.w telah tersebar luas sehinggalah Sayyidina Abu Bakar mendapat berita sedih ketika berada di atas kuda dalam perjalanan pulang kerana pada sangkaannya baginda telah beransur pulih. Sayyidina Abu Bakar bergegas menuju ke Masjid Nabawi lalu memasuki bilik Sayyidatina ‘Aisyah dimana terletaknya jasad Rasulullah s.a.w. Beliau duduk berhampiran jasad nabi yang mulia lalu menyingkap kain yang menutupi bahagian muka nabi di mana beliau terus mengucupnya dan menutup kembali seterusnya keluar menemui para muslimin yang masih sedih dan terkejut menerima berita yang sedih ini. Suasana ketika itu hampir tidak terkawal kerana masing-masing bagaikan tidak percaya apabila menerima berita kewafatan rasul yang begitu dikasihi, ketua yang disegani, pemimpin yang telah memimpin umat daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya iman dan islam. Sayyidina Umar sendiri tidak mempercayai berita kewafatan nabi malah memberi amaran keras akan memancung kepala sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat kerana baginya Rasulullah s.a.w tidak akan wafat melainkan setelah kaum munafik dihancurkan. Ada juga para muslimin yang tidak kuat imannya kembali murtad kerana tidak dapat menerima hakikat kewafatan nabi ini.

Dalam keadaan yang tidak terkawal ini lalu Sayyidina Abu Bakar berdiri gagah dihadapan para muslimin lalu mengeluarkan kata-katanya yang tegas :

أيها الناس ! من كان يعبد محمدا فإن محمدا قد مات , ومن كان يعبد الله فإن الله حي لا يموت

Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak akan mati

Selepas itu beliau membaca ayat 144 surah ali Imran :

وما محمد إلا رسول قد خلت من قبله الرسل , أفإن مات أو قتل انقلبتم على أعقبكم , ومن ينقلب على عقبيه فلن يضر الله شيئا , وسيجزي الله الشكرين .

Maksudnya : Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?. Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tidak ada komentar:

Posting Komentar